Jumaat, 4 Februari 2022 | 6:23pm
Shariman (dua dari kanan) dan Samsulmudin (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah heroin dan syabu ditemui dalam sebuah kereta yang di Jalan Padang Gaung, Langkawi. - Foto NSTP/HAMZAH OSMAN
Shariman (dua dari kanan) dan Samsulmudin (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah heroin dan syabu ditemui dalam sebuah kereta yang di Jalan Padang Gaung, Langkawi. - Foto NSTP/HAMZAH OSMAN

Kereta pengedar dadah terbabas

LANGKAWI: Polis membongkar kegiatan pengedaran dadah disyaki dilakukan pemandu kereta berusia 41 tahun yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Gaung di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi, polis menemui dadah jenis heroin, syabu dan pil Erimin 5 bernilai lebih RM68,000 ketika memeriksa kenderaan itu yang terbabas di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata anggota polis yang kebetulan melalui jalan itu ternampak kemalangan kereta.

"Ketika memberikan pertolongan dan membuat pemeriksaan, anggota polis menemui dadah heroin seberat 284 gram (g) dan syabu seberat 1.743 kilogram (kg), selain 300 biji Erimin 5.

"Turut ditemui dalam kereta, wang tunai RM3,525 dipercayai hasil jualan dadah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Samsulmudin Sulaiman.

Shariman berkata, suspek yang juga lelaki tempatan tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Sultanah Maliha dengan ambulans.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Hak Harta) 1988," katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menahan enam lelaki tempatan berusia di antara 22 dan 44 tahun dan merampas 12.1g heroin dan syabu bernilai lebih RM10,000 di sebuah rumah di Kampung Padang Gaung di sini, pada jam 1 pagi.

"Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,405 tangkapan dilakukan polis berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, berbanding 1,254 bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Berita Harian X