Selasa, 1 Februari 2022 | 4:38pm

Kebakaran tapak lupus sampah Pulau Burung hampir padam sepenuhnya

NIBONG TEBAL: Jabatan Bomba dan Penyelamat hampir berjaya memadamkan sepenuhnya api di tapak pelupusan Pulau Burung, di sini selepas tiga minggu kebakaran itu tercetus.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Daerah Seberang Prai Selatan, kebakaran itu berjaya dipadamkan hasil kerjasama pelbagai agensi persekutuan dan negeri.

"Kami berjaya memadamkan 98 peratus kebakaran setakat ini," katanya, hari ini.

Katanya, bagi memastikan sumber sedia ada dioptimumkan sepenuhnya, aliran kerja pengurusan bencana akan diseragamkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan akan dilaksanakan sehingga ia selesai.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri juga akan terus memantau kualiti udara sehingga mereka berpuas hati dengan bacaan kualiti udara yang stabil.

"Bagi penduduk di daerah Seberang Prai Selatan pula, kami menasihatkan mereka supaya peka terhadap kesihatan diri.

"Sekiranya mereka menunjukkan sebarang gejala seperti sesak nafas atau tidak sihat, sila dapatkan rawatan perubatan segera di hospital dan klinik berdekatan," katanya.

Media melaporkan, lebih 11 hektar daripada hampir 33 hektar tapak pelupusan Pulau Burung musnah terbakar pada 12 Januari lalu.

Bahan pencemar di tapak pelupusan dikesan menjejaskan penduduk di Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru berhampiran dan mengakibatkan kira-kira 400 penduduk dari kedua-dua kampung itu dipindahkan.

Malah 10 sekolah, iaitu dalam radius 10 kilometer dari tapak pelupusan sampah, juga sudahdiarah tutup.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengisytiharkan tapak pelupusan sampah Pulau Burung sebagai kawasan bencana Tahap 1.

Berita Harian X