Selasa, 25 Januari 2022 | 11:19pm
Anggota bomba melakukan operasi menyelamat di lokasi kemalangan di KM38.3 Jalan Ipoh-Teluk Intan berhadapan Klinik Kesihatan Jalan Degung di sini, hari ini. - Foto JBPM
Anggota bomba melakukan operasi menyelamat di lokasi kemalangan di KM38.3 Jalan Ipoh-Teluk Intan berhadapan Klinik Kesihatan Jalan Degung di sini, hari ini. - Foto JBPM

Seorang maut tiga cedera, kereta dinaiki sekeluarga terbabas

KAMPAR: Seorang lelaki maut, manakala isteri dan dua anaknya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di KM38.3 Jalan Ipoh-Teluk Intan berhadapan Klinik Kesihatan Jalan Degung di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, polis menerima panggilan menyatakan berlaku kemalangan jalan raya pada jam 6.45 petang.

"Mangsa yang memandu kenderaan maut di tempat kejadian manakala isterinya cedera parah dan dua anak turut cedera dan dibawa ke Hospital Kampar," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.57 petang memaklumkan berhubung kejadian sebelum anggota bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, setibanya jentera di lokasi kejadian didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga terbabas ke dalam longkang mengakibatkan semua mangsa tercampak keluar dari kenderaan.

"Tiada mangsa tersepit dan dua kanak-kanak berkenaan dibawa ke Hospital Kampar oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

"Pemandu kereta disahkan maut di oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian manakala isteri beliau mengalami kecederaan parah," katanya.

Berita Harian X