Selasa, 25 Januari 2022 | 9:22am

Suami isteri disyaki tokan dadah, miliki pistol ditahan

IPOH: Sepasang suami isteri antara 496 individu yang ditahan polis dalam Op Tapis Khas kerana disyaki mengedar dadah selain memiliki sepucuk pistol jenis Revolver bersama tiga peluru hidup.

Pasangan itu direman tujuh hari mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pasangan itu ditahan Jumaat lalu di sebuah rumah di Mambang Di Awan, Kampar menerusi operasi selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Katanya, serbuan di rumah diduduki pasangan berusia lingkungan 30 tahun itu menemukan sepucuk pistol jenis Revolver.38 bersama tiga butir peluru hidup SME.38 SPL 02.

"Lelaki berkenaan juga didapati positif dadah selain turut mempunyai rekod kesalahan lampau, manakala wanita yang juga isterinya negatif dadah," katanya.

Beliau berkata, operasi sama turut menahan 120 tokan atau pengedar dadah membabitkan serbuan terhadap 32 sarang penagih.

Menurutnya, 84 tokan disiasat mengikut Seksyen 39(b) ADB yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

"Selain 84 yang ditahan bagi kesalahan mengedar dadah, 122 ditahan bagi kesalahan memiliki dadah, penagihan (254) dan 36 individu ditangkap mengikut Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah.

"Seramai 15 individu dikategorikan orang yang dikehendaki selain 50 adalah penagih tegar yang mana mereka pernah ditahan sebelum ini.

"Penagih tegar itu akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C ADB 1952 yang membawa hukuman lima tahun penjara dan tiga sebatan jika disabitkan kesalahan," katanya dalam sidang media khas sempena operasi itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, semalam.

Mior Faridalathrash berkata, operasi dijalankan membabitkan 45 pegawai dan 279 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah.

Beliau berkata daripada 496 individu yang ditahan, 16 daripadanya adalah warga asing.

Katanya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas melalui operasi berkenaan adalah RM67,795.60 termasuk 795.76 gram (g) heroin, syabu (374.87g), ganja (8.65g), selain 81.73 liter air ketum.

Menurutnya, JSJN Perak turut menyita dua kereta, sembilan motosikal, selain wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM97,082 melalui operasi terbabit selain percaya bahawa kesemua dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, JSJN Perak merekodkan nilai rampasan dadah RM40.2 juta sepanjang 2021 selain nilai sitaan harta RM11 juta bagi tempoh sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X