Ahad, 23 Januari 2022 | 11:05pm

51 penagih ditahan dalam Ops Tapis

NILAI: Seramai 51 penagih dadah ditahan dalam serbuan di beberapa unit pangsapuri di Bandar Universiti Teknologi Lagenda, Batu 12, Mantin, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Rahman, berkata dalam Ops Tapis Khas itu, polis memberi tumpuan kepada 'port' penagihan dadah di daerah ini.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) menjalankan operasi itu bagi menggempur sarang penagihan dadah di kawasan Mantin.

"Serbuan yang dilakukan di beberapa pangsapuri sekitar Bandar Universiti Teknologi Lagenda menahan 51 penagih dadah berusia 24 hingga 60 tahun.

"Polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 32.50 gram (g) dan syabu seberat 3.3g dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,467," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Berita Harian X