Jumaat, 21 Januari 2022 | 5:13pm
Anggota polis memeriksa lokasi kejadian seorang wanita terjatuh dari tingkat empat Lintas Plaza, Kota Kinabalu. - Foto pembaca
Anggota polis memeriksa lokasi kejadian seorang wanita terjatuh dari tingkat empat Lintas Plaza, Kota Kinabalu. - Foto pembaca

Wanita maut terjatuh tingkat empat Lintas Plaza

KOTA KINABALU: Orang ramai di Lintas Plaza, di sini, gempar selepas menyaksikan seorang wanita jatuh dari tingkat empat bangunan sebuah hotel, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang juga guru tadika masuk ke bangunan berkenaan pada jam 7.10 pagi dan meletakkan kenderaannya di tingkat empat.

"Polis menerima laporan daripada orang awam pada jam 8.05 pagi dan sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan forensik polis menemui beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa dipercayai impak terjatuh dari tempat tinggi.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk menjalani ujian COVID-19 sebelum proses bedah siasat," katanya.

Beberapa saksi kejadian mendakwa sempat melihat wanita berusia lingkungan 50-an terbabit meraung kesakitan selepas terjatuh sebelum tidak sedarkan diri.

Berita Harian X