Selasa, 18 Januari 2022 | 12:57pm
Polis menahan seorang lelaki tempatan susulan dipercayai cubaan samun kedai emas di aras bawah sebuah pasaraya, Taman Mutiara Rini, Iskandar Puteri. - Foto PDRM
Polis menahan seorang lelaki tempatan susulan dipercayai cubaan samun kedai emas di aras bawah sebuah pasaraya, Taman Mutiara Rini, Iskandar Puteri. - Foto PDRM

Cubaan samun dengan membakar mercun gagal

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki tempatan susulan dipercayai cubaan samun kedai emas di aras bawah sebuah pasar raya, Taman Mutiara Rini di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 10 malam.

Katanya, berpandukan maklumat, pihaknya menahan lelaki berusia 33 tahun itu di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bersenjata itu membakar mercun di ruang tengah pasar raya, masuk melalui pintu depan kedai ketika pintu 'shutter' ditutup separuh, dan terus menuju ke peti besi di bahagian belakang.

"Mangsa wanita tempatan berusia 34 tahun yang juga pengurus kedai cedera di pipi kiri akibat ditumbuk suspek, selain mangsa tidak mengalami sebarang kerugian.

"Polis merampas antaranya mercun, topeng muka, pemetik api dan sepasang sarung tangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai tujuh rekod lampau iaitu enam kes daripadanya adalah samun dan satu kes curi kenderaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X