Selasa, 18 Januari 2022 | 11:11am

23 pegawai, anggota polis Pahang kena buang

KUANTAN: Seramai 23 pegawai dan anggota polis di Pahang dibuang kerja atas kesalahan narkotik, jenayah, tatatertib dan rasuah sejak 2020.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata jumlah itu sangat membimbangkan kerana polis adalah badan penguat kuasa undang-undang yang menjadi benteng keselamatan dan ketenteraman masyarakat.

Katanya, kelakuan pegawai dan anggota polis akan menjadi perhatian ramai, terutama membabitkan kes rasuah dan salah guna kuasa.

"Pada masa sama, saya tidak boleh terima pegawai atau anggota terbabit penagihan dadah. Jika terbabit, ia sesuatu yang sangat malang kerana penyalahgunaan dadah dalam kalangan polis akan meruntuhkan institusi ini.

"Kita tidak mahu Polis Pahang mempunyai 'zombi-zombi' yang bukan sahaja menyusahkan penyelia dan rakan sekerja, tetapi juga keluarga dan masyarakat keseluruhan. Implikasi dadah diketahui amat buruk, risikonya bukan kepada diri sendiri, tetapi juga kepada mereka yang dekat terutama ibu bapa serta saudara mara. Ada yang dibunuh dengan kejam oleh penagih," katanya.

Berucap pada perhimpunan bulanan polis Pahang di sini hari ini, beliau juga memaklumkan, lebih 300 pegawai dan anggota polis di negeri ini terkesan dengan banjir besar, Disember lalu.

"Bagi pegawai dan anggota yang terjejas banjir, kebajikan mereka diberikan keutamaan," katanya yang turut melahirkan rasa simpati dengan masyarakat yang ditimpa bencana berkenaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota polis negeri pada perhimpunan bulanan di Kuantan, hari ini. - NSTP/ASROL AWANG
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota polis negeri pada perhimpunan bulanan di Kuantan, hari ini. - NSTP/ASROL AWANG
Berita Harian X