Selasa, 18 Januari 2022 | 10:05am

Syabu RM360,000 dirampas

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah jenis syabu bernilai RM360,000 selepas menahan seorang lelaki di Jalan Kuchai Lama, di sini, pada Jumaat lalu.

Menerusi Ops Irma, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menahan suspek berusia 28 tahun pada jam 8.55 malam.

Timbalan Ketua JSJN Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah, berkata pihaknya turut merampas satu beg plastik berisi 10 bungkusan hijau mengandungi syabu seberat 10.2 kilogram (kg), wang tunai RM300 dan sebuah PERODUA Myvi bernilai RM45,000 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM405,300.

"Dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 20,420 pengguna. Siasatan turut mendapati suspek penganggur sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak, selain mengedar bahan terlarang itu kepada pengguna di sekitar ibu negara.

"Lelaki berkenaan tidak memiliki rekod jenayah dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suspek direman lima hari hingga esok mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkannya kepada JSJN Kuala Lumpur menerusi aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 yang beroperasi 24 jam sehari.

Berita Harian X