Isnin, 17 Januari 2022 | 8:28pm
 Operasi SAR oleh bomba dilakukan di kawasan sekitar perairan Pulau Mataking dan Pulau Kulapuan, bagi mengesan dua pemancing yang dikhuatiri lemas. Foto ihsan bomba.
Operasi SAR oleh bomba dilakukan di kawasan sekitar perairan Pulau Mataking dan Pulau Kulapuan, bagi mengesan dua pemancing yang dikhuatiri lemas. Foto ihsan bomba.

2 pemancing dikhuatiri lemas

SEMPORNA: Dua lelaki dikhuatiri lemas ketika keluar memancing di kawasan perairan Pulau Mataking, dekat sini, selepas tidak pulang sejak petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kedua-dua mangsa, Makbul Haja, 50, bersama rakannya, Sajid Armani, 39, keluar memancing sekitar jam 3.30 petang pada hari berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua pemancing terbabit bagaimanapun dilaporkan tidak pulang ke rumah masing-masing selepas tempoh 24 jam.

"Ahli keluarga mangsa yang bimbang sesuatu yang buruk berlaku kemudian membuat laporan polis pada jam 4.41 petang semalam," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Mohd Farhan berkata, susulan laporan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi diaktifkan bermula petang semalam, namun gagal menemukan sebarang petunjuk.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Faisal Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan di sekitar kawasan perairan Pulau Kulapuan dan Pulau Mataking.

"Setakat hari ini, kedua-dua mangsa belum ditemui dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 5 petang berikutan keadaan laut bergelora dan hujan," katanya sambil memaklumkan operasi SAR akan disambung semula pagi esok.

Berita Harian X