Isnin, 17 Januari 2022 | 2:34pm
Sebahagian dadah dipercayai syabu yang dirampas - Foto NSTP/Ihsan PDRM
Sebahagian dadah dipercayai syabu yang dirampas - Foto NSTP/Ihsan PDRM

Penjawat awam, suami ditahan edar dadah

MELAKA: Penjawat awam dan suami ditahan bersama sejumlah dadah dalam serbuan di kediaman mereka di Pulau Gadong, di sini, semalam.

Pasangan suami isteri itu ditahan kira-kira jam 12.50 tengah malam oleh sepasukan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, kedua-dua yang ditahan itu berusia 29 tahun dan wanita berkenaan adalah kakitangan kerajaan negeri manakala suaminya buruh binaan.

"Hasil serbuan ke atas premis itu polis menemui dan merampas dadah disyaki syabu seberat kira-kira 42 gram dan empat biji pil disyaki yaba yang kesemuanya bernilai lebih RM4,200.

"Siasatan juga mendapati dadah itu untuk pasaran tempatan dan suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak sebulan lalu," katanya.

Menurut beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah Methamphetamine.

"Semakan juga mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan dadah.

"Bagaimanapun suspek wanita didapati negatif dan kedua-dua mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, bermula 1 hingga 16 Januari tahun ini seramai empat penjawat awam ditahan di negeri ini selepas disyaki terbabit dengan dadah.

"Kesemua tangkapan itu membabitkan nilai rampasan membabitkan nilai lebih RM8,300," katanya.

Berita Harian X