Ahad, 16 Januari 2022 | 9:10am
Foto hiasan
Foto hiasan

Nak pinjam RM10,000, rugi RM44,702

KUANTAN: Seorang lelaki kerugian lebih RM44,702 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 28 tahun tertarik dengan tawaran pinjaman selepas melihat iklan pinjaman wang di internet.

Katanya, mangsa kemudian menghubungi seorang lelaki dikenali Allen Wong menerusi aplikasi WhatsApp dan menyatakan minat untuk meminjam wang sebanyak RM10,000.

"Mangsa kemudian diminta membuat bayaran bagi proses permohonan pinjaman, sebelum layak membuat pinjaman yang ditawarkan kepadanya.

"Disebabkan terlalu inginkan wang pinjaman, mangsa mengikut setiap arahan suspek dengan memasukkan wang sebanyak RM44,702.80 ke dalam tujuh akaun bank berbeza," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek terus meminta wang sebanyak RM3,500 dan mangsa berasa ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya.

Berita Harian X