Jumaat, 14 Januari 2022 | 8:30am
Dua sahabat maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 13 Lebuhraya Perol Kota Bharu-Ketereh di sini, tengah malam tadi. - Foto ihsan polis
Dua sahabat maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 13 Lebuhraya Perol Kota Bharu-Ketereh di sini, tengah malam tadi. - Foto ihsan polis

Dua sahabat maut dirempuh kereta

KOTA BHARU: Dua sahabat maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 13 Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.01 tengah malam itu, Muhamad Safuan Mohd Shukri, 25, dan pembonceng, Shahri Azlin Ibrahim, 36, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dari arah Kota Bharu ke Perol.

"Ketika kejadian keadaan jalan agak gelap, sebelum sebuah kereta dipercayai jenis Perodua Myvi berwarna oren melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.

"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa melambung sejauh kira-kira 30 meter dan terseret," katanya ketika dihubungi hari ini.

Keadaan motosikal jenis Yamaha RXZ yang remuk di bahagian belakang dan bengkok tayar ditunggangi dua mangsa dalam kemalangan maut di Kilometer 13 Lebuhraya Perol Kota Bharu-Ketereh di sini tengah malam tadi. - Foto ihsan POLIS
Keadaan motosikal jenis Yamaha RXZ yang remuk di bahagian belakang dan bengkok tayar ditunggangi dua mangsa dalam kemalangan maut di Kilometer 13 Lebuhraya Perol Kota Bharu-Ketereh di sini tengah malam tadi. - Foto ihsan POLIS

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera parah, termasuk pembonceng wanita putus tangan kanan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa masing-masing beralamat di Lorong Kubur Maras dan Kampung Kubang Batang, Wakaf Bharu, Tumpat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

"Siasatan juga mendapati, kenderaan yang melanggar motosikal mangsa melarikan diri dan berdasarkan serpihan komponen yang ditemui di lokasi, polis mengesyaki ia adalah Perodua Myvi berwarna oren.

"Polis sedang mengesan pemandu dan kenderaan itu dan sebarang maklumat atau saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Inspektor Mohd Ikhwan Mamat di talian 013-9638060 untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X