Ahad, 9 Januari 2022 | 8:44pm
Anggota bomba berusaha mengawal kebakaran yang memusnahkan dua blok rumah kongsi di Lorong 7 Kunak Jaya tengah hari tadi.
Anggota bomba berusaha mengawal kebakaran yang memusnahkan dua blok rumah kongsi di Lorong 7 Kunak Jaya tengah hari tadi.

Warga emas ditemui rentung dalam kebakaran rumah kongsi

KUNAK: Seorang warga emas ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan dua blok rumah kongsi lapan pintu dekat Kunak Jaya Lorong 7 di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mayat mangsa, Suwardi Allu, 64, ditemui dalam keadaan rentung oleh anggota bomba pada jam 2.25 petang di sebuah bilik dalam blok rumah kongsi terbabit.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kunak, Mohammad Omar Batha, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.15 tengah hari.

Beliau berkata, 14 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera termasuk unit anjing pengesan (K9) serta pegawai penyiasat forensik dari Zon Tawau dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan dua blok rumah kongsi dengan keluasan masing-masing antara 1600 hingga 2500 kaki persegi terbakar sepenuhnya.

"Operasi memadam kebakaran menghadapi sedikit kesukaran berikutan ketiadaan pili bomba di kawasan berkenaan.

Anggota bomba mengalihkan mayat seorang warga emas yang ditemui rentung selepas kebakaran memusnahkan dua blok rumah kongsi di Lorong 7 Kunak Jaya, tengah hari tadi.
Anggota bomba mengalihkan mayat seorang warga emas yang ditemui rentung selepas kebakaran memusnahkan dua blok rumah kongsi di Lorong 7 Kunak Jaya, tengah hari tadi.

"Kami terpaksa menggunakan sumber air terbuka iaitu dari kolam berhampiran, selain menggunakan air dari tangki jentera dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tiga lagi blok rumah berhampiran," katanya.

Mohammad Omar berkata, api berjaya dikawal pada jam 1.07 petang sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.22 petang, dengan mayat mangsa diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian sedang dalam siasatan pihaknya.

Berita Harian X