Rabu, 5 Januari 2022 | 3:23pm
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media selepas perhimpunan bulanan dan lafaz ikrar bagi peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (PSP) di Jalan Padang Tembak, Ayer Itam, Georgetown, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media selepas perhimpunan bulanan dan lafaz ikrar bagi peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (PSP) di Jalan Padang Tembak, Ayer Itam, Georgetown, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG

312 pegawai, anggota polis Pulau Pinang disiasat tahun lalu

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membuka sebanyak 171 kertas siasatan tatatertib membabitkan 314 pegawai dan anggotanya serta kakitangan awam di kontinjen negeri ini sepanjang tahun lalu, iaitu meningkat 35.71 peratus berbanding 2020.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan itu melibatkan 43 pegawai, 269 anggota dan dua kakitangan awam membabitkan pelbagai kesalahan.

"Sepanjang tahun lalu, kami buka sebanyak 171 kertas siasatan, iaitu 107 kes tatatertib, 33 kes jenayah, 17 kes dadah, lapan kes tidak hadir tugas atau pembolosan, empat kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan dua lagi membabitkan kes syariah.

"Daripada 314 orang itu, 28 masih dalam siasatan untuk diambil tindakan, antaranya gantung, tahan dan buang kerja. Setelah Lembaga Tatatertib bersidang dan membuat keputusan serta hukuman dijatuhkan, barulah mereka akan berada dalam statistik hukuman," katanya.

Bercakap kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini, beliau berkata, kesalahan membabitkan pegawai dan anggota polis menunjukkan peningkatan 45 kes pada 2020 berbanding tahun lalu, iaitu sebanyak 126 kertas siasatan direkodkan.

Mohd Suhaily menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dengan mereka terlibat dengan salah laku serta tindakan tatatertib akan diambil demi menjaga nama baik Polis Diraja Malaysia(PDRM).

Sementara itu, katanya, kadar jenayah di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 27.3 peratus, iaitu 3,381 kes sepanjang 2021 berbanding nilai ambang, iaitu 5,269 kes bagi tempoh sama.

Beliau menjelaskan, kajian dan siasatan dijalankan mendapati kes jenayah turun pada tahun lalu berikutan beberapa perintah kawalan pergerakan dilaksanakan kerajaan dan kehadiran pihak polis di kawasan tumpuan menyebabkan penjenayah tidak berani melakukan jenayah.

"Nilai ambang dijadikan kayu pengukur digunakan oleh Interpol (Polis Antarabangsa) dalam kajian jenayah di seluruh dunia. Dalam konteks jenayah harta benda, ada 2,900 kes sahaja, yang mana nilai ambang jenayah harta benda berjumlah 4,263 kes, menunjukkan penurunan 1,303 kes, iaitu sebanyak 31 peratus," katanya.

Beliau berkata, jenayah kekerasan membabitkan 931 kes dan ia juga menurun sebanyak 12.7 peratus berbanding nilai ambang iaitu 1,666 kes.

"Kalau ambil kedua-dua jenis jenayah ini, kita dapat lihat jenayah kekerasan turun, tapi tidak mendadak seperti jenayah harta benda. Ini kemungkinan besar disebabkan pergerakan masyarakat yang dihadkan dengan pelan pemulihan negara tempoh hari.

"Jenayah harta benda berlaku disebabkan ruang dan peluang, apabila masyakarat tidak bergerak, maka risiko itu dapat dikurangkan. Sebanyak 70 peratus jenayah yang direkodkan sepanjang tahun lalu itu membabitkan penjenayah yang mempunyai rekod berkaitan dadah," katanya.

Berita Harian X