Rabu, 5 Januari 2022 | 11:39am

171 kertas siasatan dibuka babitkan polis Pulau Pinang

GEORGETOWN: Sebanyak 171 kertas siasatan kerana pelbagai kesalahan dibuka sepanjang tahun lalu membabitkan seramai 314 pegawai dan anggota polis di Kontinjen Pulau Pinang.

Individu itu terdiri daripada 43 pegawai kanan polis, 269 pegawai rendah dan dua kakitangan awam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semua kes berkenaan membabitkan kesalahan tata tertib, syariah, jenayah, rasuah, penyalahgunaan dadah, tidak hadir bertugas dan gagal dikesan atau bolos.

Katanya, berdasarkan jumlah kes, kesalahan tatatertib paling banyak direkodkan iaitu sebanyak 107 kes diikuti dengan jenayah (33 kes), dadah (17) dan bolos (empat).

"Bagi kesalahan rasuah pula, sebanyak empat kertas siasatan dibuka manakala dua lagi kes membabitkan syariah.

"Siasatan juga mendapati seramai 28 individu kini berdepan tindakan gantung, tahan dan buang kerja mengikut Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993," katanya kepada media, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata demikian selepas mengadakan perhimpunan bulanan dan lafaz ikrar bagi Januari 2022 Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Pasukan Simpanan Polis Persekutuan, Ayer Itam di sini.

Menurut Mohd Shuhaily, kesalahan membabitkan pegawai dan anggota Kontinjen Pulau Pinang menunjukkan peningkatan sebanyak 35.71 peratus berbanding pada tahun 2020 iaitu sebanyak 126 kertas siasatan dibuka.

"Kita tidak akan berkompromi dengan pegawai ataupun anggota yang terbabit dengan salah laku dan tindakan tatatertib akan diambil demi menjaga nama baik PDRM," katanya lagi.

Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima pada majlis Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Januari 2022 Kontinjen Pulau Pinang - Foto NSTP/Mikail Ong
Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima pada majlis Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Januari 2022 Kontinjen Pulau Pinang - Foto NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X