Sabtu, 1 Januari 2022 | 12:06am

Empat mayat ditemui terapung tiada unsur jenayah

MANJUNG: Polis mengesahkan kematian seorang lelaki dan tiga wanita yang ditemukan terapung tanpa identiti di perairan Pulau Jarak, Pulau Pangkor dekat sini, semalam, tiada unsur jenayah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata keempat-empat mayat itu juga dipercayai warga Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti jika semua mangsa adalah berkait dengan laporan polis yang dibuat di Sekinchan, Selangor, Isnin lalu, berhubung sebuah bot tenggelam di perairan dekat daerah berkenaan, pada 25 Disember lalu.

"Ujian kit saringan pantas (RTK) COVID-19 ke atas semua mayat berkenaan adalah negatif.

"Bedah siasat dilakukan pagi tadi mendapati punca kematian mangsa adalah 'uncertain due to deconposed body dan tiada sebarang unsur jenayah," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Mior Faridalathrash berkata, keempat-empat mayat itu juga tidak mempunyai kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) pada bahagian lengan mereka.

Katanya, anggaran usia semua mangsa juga tidak dapat dipastikan kerana keadaan tubuh badan mula mereput selain tiada dokuman pengenalan diri dijumpai pada mereka.

"Tiga mayat perempuan lengkap berpakaian dengan seorang turut bertudung, manakala mayat lelaki pula hanya memakai baju dan seluar dalam.

"Mangsa lelaki mempunyai lukisan (tatoo) di dada kanan bergambar perempuan dan lukisan bunga di dada kiri, manakala lengan kanan mempunyai lukisan perempuan dan lengan kiri mempunyai lukisan yang tidak pasti. Kesemua mayat disyaki warga Indonesia berdasarkan pakaian yang dipakai," katanya.

Semalam, media melaporkan, empat mayat itu berkenaan dipercayai mangsa bot karam yang dilaporkan di Sekinchan susulan terdapat satu laporan polis dibuat seorang individu pada 2.49 petang, Isnin lalu berhubung sebuah bot tenggelam di perairan dekat daerah berkenaan.

Individu terbabit mendakwa dihubungi pekerjanya pada jam 3.30 petang, Sabtu lalu yang memaklumkan ternampak sebuah bot tidak pasti pemiliknya dinaiki kira-kira 20 individu, tenggelam.

Berita Harian X