Jumaat, 31 Disember 2021 | 6:10pm

Guru rugi RM216,000 ditipu individu menyamar

TELUK INTAN: Seorang guru sekolah rendah, di sini, kerugian RM216,000 selepas ditipu individu menyamar sebagai pekerja syarikat insurans dan kakitangan mahkamah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata terdahulu wanita berusia 48 tahun itu dikatakan dihubungi suspek yang mendakwa mangsa ada membuat tuntutan insurans kemalangan pada jam 9.30 pagi 10 November lalu.

Bagaimanapun, katanya, mangsa menafikan perkara itu sebelum talian disambungkan kononnya ke Balai Polis Pudu untuk membuat laporan.

Beliau berkata, talian kemudian disambungkan kononnya kepada pihak mahkamah pula kerana mangsa didakwa terbabit jenayah pengubahan wang haram.

"Pada awal bulan ini, mangsa membuat pinjaman peribadi melalui dua bank berlainan masing-masing berjumlah RM118,000 dan RM59,000.

"Semua wang itu dipindahkan ke akaun bank lain miliknya kerana diarahkan suspek yang memberi alasan kononnya bagi memudahkan penyeliaan dan pemantauan oleh pihak mahkamah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, mangsa juga memberi maklumat akaun banknya kepada seorang lelaki yang kononnya dari Mahkamah Tinggi, ketika dihubungi pada 1 Disember lalu.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas dimaklumkan oleh pihak bank bahawa wang pinjaman peribadi dan wang simpanannya berjumlah RM216,000 dipindahkan ke akaun lain melalui 13 transaksi, semalam.

"Mangsa membuat semakan di kaunter bank dan mendapati wang dalam akaunnya sudah tiada, sebelum membuat laporan polis pada jam 12.30 tengah hari semalam, " katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X