Jumaat, 31 Disember 2021 | 2:05pm
Mohd Muhazzam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ipoh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan dan merogolnya pada 17 Disember lalu. - Foto BERNAMA
Mohd Muhazzam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ipoh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan dan merogolnya pada 17 Disember lalu. - Foto BERNAMA

Anggota tentera laut didakwa lakukan amang seksual, rogol remaja

IPOH: Seorang anggota tentera laut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan dan merogolnya pada 17 Disember lalu.

Tertuduh, Mohd Muhazzam Shah Salem, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Menurut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 17 tahun itu, mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Menurut kertas pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa sama, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik tidur sebuah unit apartmen di Bukit Permata, Lumut, Manjung, kira-kira jam 11 malam 17 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amanina Zulkefli, manakala tertuduh diwakili peguam, Fahmi Izzudin Jefri.

Nur Amanina memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Namun, Fahmi Izzudin memohon anak guamnya dikenakan ikat jamin lebih rendah berikutan tertuduh adalah pencari nafkah tunggal keluarga yang menyara isteri tidak bekerja dan tiga anak berusia antara satu hingga enam tahun.

Selain itu, anak sulung dan kedua tertuduh yang masing-masing berusia enam serta empat tahun, perlu sering dirujuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan kerana menghidap lemah daya ketahanan badan melawan penyakit.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen, selain memerintahkan tertuduh tidak melakukan kacau ganggu terhadap mangsa dan saksi pendakwaan kes itu.

Berita Harian X