Khamis, 30 Disember 2021 | 2:45pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Mekanik rugi lebih RM170,000 diperdaya 'pegawai polis'

KUANTAN: Seorang mekanik kerugian lebih RM170,000 selepas diperdaya lelaki menyamar pegawai polis yang mendakwa mangsa terbabit kegiatan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKSK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa dikatakan menerima panggilan daripada suspek pada 13 Disember lalu.

"Akibat terlalu bimbang akan tuduhan itu, mangsa mengikut arahan individu menyamar pegawai polis berkenaan, termasuk memindahkan wang sebanyak RM520,000 ke akaun bank lain dan menghantar gambar depan belakang kad bank ATM.

"Selain itu, mangsa juga mendedahkan dua maklumat akaun bank miliknya.

"Bagaimanapun, mangsa kemudian mengesyaki diri ditipu sehingga kerugian RM170,030.89, lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan, semalam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang wanita pembantu tukang masak pula kerugian RM20,000 selepas ditipu seorang lelaki menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran cukai berjumlah RM55,000.

Beliau berkata, mangsa menafikan perkara itu sebelum suspek menjerat wanita berkenaan dengan mendakwa namanya digunakan dalam pengubahan wang haram.

"Mangsa kemudian diminta mendedahkan maklumat akaun bank seperti nombor akaun dan nombor kad ATM.

"Selepas mendedahkan maklumat itu, mangsa menyemak baki di dalam akaun banknya tetapi mendapati wang sudah berkurangan RM20,000," katanya.

Berita Harian X