Khamis, 30 Disember 2021 | 11:24am

Kerani rugi RM50,000 ditipu Macau Scam

BAGAN DATUK: Seorang kerani wanita kerugian RM50,000 selepas diperdaya Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank, Isnin lalu.

Dalam kejadian pada jam 3.45 petang itu, mangsa berusia 36 tahun yang berada di rumahnya di Taman Sri Intan 2, Hutan Melintang, dekat sini, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa dari sebuah bank di Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata suspek mendakwa wanita terbabit mempunyai kad kredit platinum yang dimohon di bank berkenaan dan membuat tiga transaksi dengan jumlah keseluruhan penggunaan RM15,596 sejak 15 November lalu, tetapi dinafikan wanita berkenaan.

"Suspek memaklumkan dia akan membantu wanita terbabit membuat laporan polis kepada Bank Negara kononnya ada individu menggunakan butiran mangsa untuk membuka akaun di bank berkenaan.

"Suspek turut berjanji membantu menyelesaikan masalah itu, menyebabkan mangsa memberikan semua maklumat perbankannya kepada suspek.

"Suspek juga menghantar laporan polis kononnya sudah dibuat bagi pihak mangsa untuk rujukan Bank Negara," katanya kepada BH, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian menerima pesanan ringkas daripada sebuah bank lain pada jam 5.24 petang hari sama, memaklumkan wanita itu membuat 15 transaksi secara dalam talian daripada akaun miliknya ke akaun bank atas nama seorang lelaki.

"Mangsa tidak tahu pengeluaran wang dalam akaunnya sehingga pihak bank menghubunginya. Jumlah kerugian dialaminya RM50,000 dan mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ahmad Adnan menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau helah pihak tertentu serta tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak.

Berita Harian X