KUALA LUMPUR: Seramai 128 pelajar yang mendiami sebuah blok asrama pelajar lelaki di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak di sini, diarahkan mengosongkan bangunan asrama selepas berlaku mendapan jalan dan tanah runtuh di kawasan berhampiran, malam tadi.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi sebaik pihak bomba menerima laporan kejadian itu pada jam 9 malam untuk melakukan pemantauan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata keterangan saksi mengatakan kejadian tanah runtuh itu berlaku kira-kira jam 6.45 petang semalam ketika hujan lebat.
"Pihak pengurusan UIAM mengarahkan semua 128 penghuni terdiri daripada pelajar lelaki untuk mengosongkan bangunan asrama.
"Melalui pemantauan kami, tiada sebarang rekahan dikesan pada dinding dan lantai bangunan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Norazam berkata, mendapan jalan yang berlaku dianggarkan berkeluasan lima meter persegi dengan kedalaman kira-kira tiga meter.
"Pihak UIAM telah bertindak menutup kawasan itu dengan meletakkan kon dan pita keselamatan.
"Selain itu, pihak universiti turut menghubungi konsultan Jabatan Kerja Raya (JKR) berkenaan kejadian itu untuk tindakan selanjutnya," katanya.