Jumaat, 24 Disember 2021 | 3:34pm

Pesara rugi RM94,200 diperdaya Macau Scam

KUANTAN: Pesara bank wanita kerugian RM94,200 selepas diperdaya Macau Scam yang mendakwa mangsa membuat tuntutan insurans meragukan berjumlah RM76,800.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita bernama Ariana pada 22 Ogos lalu, yang mendakwa sebagai wakil ejen sebuah syarikat insurans.

Beliau berkata, suspek menyatakan mangsa membuat satu tuntutan insurans yang meragukan berjumlah RM76,800 tetapi mangsa menafikan tuntutan insurans berkenaan.

Katanya, mangsa kemudian disambungkan kepada individu mendakwa sebagai Sarjan Mazlan yang menyatakan mangsa adalah suspek bagi kes tuntutan palsu.

"Mangsa diarahkan oleh lelaki terbabit (Sarjan Mazlan) supaya memberi maklumat bank yang mangsa ada termasuk nombor pin perbankan sebuah bank.

"Selepas memberi nombor perbankan, mangsa diarahkan memasukkan semua wang ke akaun bank mangsa sendiri.

"Mangsa memasukkan wang sebanyak RM94,200 dan selepas itu mangsa membuat semakan dalam akaun bank miliknya. Mangsa dapati wang sebanyak RM94,200 sudah tiada," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa berasakan telah ditipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan, semalam.

Dalam kes lain, seorang juruteknik elektrik kerugian RM80,900 selepas diperdayakan seorang wanita warganegara Britain yang mendakwa sebagai doktor gigi di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, mangsa membuat 20 transaksi sebanyak RM80,900 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek dan gagal dihubungi sebaik wang dimasukkan.

Katanya, mangsa berasa ditipu dan membuat laporan di IPD Kuantan, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X