Jumaat, 24 Disember 2021 | 12:31pm

Lima lelaki edar ganja seberat 142 kg ditahan

BUKIT MERTAJAM: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dengan penahanan lima lelaki warga tempatan terdiri daripada pekerja kilang, peniaga dan penganggur ketika mengadakan enam serbuan sekitar kawasan Seberang Perai Tengah, di sini pada Jumaat hingga Rabu lalu.

Dalam enam siri serbuan itu, polis turut merampas 198 ketulan mampat ganja seberat 142.3 kilogram (kg) bernilai RM355,785.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.

"Serbuan pertama diadakan di sebuah rumah pada jam 4.30 petang Rabu lalu di kawasan Seberang Jaya apabila polis menahan seorang lelaki selepas pemeriksaan dalam kediamannya menemui enam ketulan mampat disyaki ganja dianggarkan seberat 5.2 kg bernilai RM12,907.50.

"Hasil soal siasat membawa kepada penahanan dua lagi lelaki ketika mengadakan serbuan pada hari sama di kawasan Bukit Mertajam selepas menemui 20 ketulan mampat disyaki ganja dianggarkan seberat 18.9kg bernilai RM47,197.50.

"Seterusnya, serbuan ketiga di sebuah rumah kedai di Sungai Semambu berjaya merampas 41 ketulan mampat disyaki ganja seberat 39.6kg bernilai RM99,122.50 yang disimpan dalam premis itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafee berkata, polis kemudian melancarkan serbuan keempat Selasa lalu dan menahan seorang lagi lelaki tempatan serta membuat rampasan 53 ketulan kecil dipercayai ganja dianggarkan seberat 1.1kg bernilai RM2,750.

"Soal siasat yang dijalankan ke atas tangkapan ini membawa kepada serbuan kelima pada hari sama di sebuah rumah di kawasan Permatang Pauh apabila polis berjaya menahan seorang lagi lelaki serta membuat rampasan ganja seberat 54.6kg bernilai RM136,442.50.

"Keesokan harinya pula pada jam 5.30 petang polis menjalankan serbuan keenam juga di kawasan Permatang Pauh dengan menahan seorang lelaki serta membuat rampasan 23 ketulan mampat ganja dianggarkan seberat 23 kg bernilai RM57,365," katanya.

Shafee berkata, kelima-lima lelaki yang ditahan itu berusia antara 30 hingga 52 tahun yang mana ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau.

"Dalam serbuan yang diadakan polis turut menyita empat kenderaan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM133,600.

Katanya, melalui risikan yang dijalankan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket itu mula bergiat aktif sejak Jun lalu dengan dipercayai menyasarkan pasaran tempatan.

"Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan berhubung dalang bagi sindiket ini," katanya.

Kelima-lima suspek itu kini direman selama tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad (tengah) menunjukkan rampasan dadah jenis ganja pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, Bandar Perda di sini. - Foto DANIAL SAAD
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad (tengah) menunjukkan rampasan dadah jenis ganja pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, Bandar Perda di sini. - Foto DANIAL SAAD
Berita Harian X