Rabu, 22 Disember 2021 | 11:19am
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Guru wanita rugi RM438,900 diperdaya Macau Scam

KUANTAN: Seorang guru wanita mendakwa kerugian RM438,900 akibat diperdaya sindiket Macau Scam sejak Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa, 44, mendakwa dihubungi seorang lelaki kononnya wakil syarikat insurans pada awal Ogos bagi menyiasat penipuan tuntutan bernilai RM76,000 atas namanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof. - NSTP/ARKIB
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof. - NSTP/ARKIB

Katanya, mangsa menafikan dakwaan itu, menyebabkan suspek memintanya berhubung dengan seorang lagi suspek lelaki yang dikatakan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Kuala Lumpur yang akan mengendalikan kes salah guna nama mangsa.

"Suspek kedua semasa dihubungi pula mendakwa nama mangsa turut dikaitkan dengan siasatan pengubahan wang haram berjumlah RM2.8 juta menyebabkan dia perlu membayar wang jaminan sebanyak RM600,000 dengan membuka akaun bank yang baharu.

"Mangsa mendakwa telah membuka akaun itu, namun hanya mampu menyediakan wang sebanyak RM439,032 dan suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan semua maklumat perbankan bagi tujuan siasatan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa membuat semakan di bank pada Isnin lalu dan mendapati wang dalam akaunnya hanya berbaki RM132.31, selain terdapat banyak transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun tidak diketahuinya.

"Mangsa cuba mendapatkan penjelasan daripada 'pegawai polis' terbabit, namun mendakwa nombor telefon itu tidak lagi digunakan. Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Nenasi, Pekan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Berita Harian X