Rabu, 22 Disember 2021 | 9:06am
Foto hiasan
Foto hiasan

Guru kerugian RM438,900 diperdaya 'Tuan Chong'

KUANTAN: Guru wanita kerugian RM438,900 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai polis dengan mendakwa mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram bernilai RM2.8 juta.

Mangsa berusia 44 tahun yang mengajar di sekolah menengah juga dikatakan terbabit dengan penipuan tuntutan insurans sebanyak RM76,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata pada 11 Ogos lalu, mangsa menerima panggilan daripada individu mendakwa wakil ejen insurans yang mendakwa mangsa terbabit dengan penipuan tuntutan insuran.

Katanya, mangsa kemudian disambungkan talian kepada individu bernama Azman yang mendakwa daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dan mengatakan, mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram.

"Untuk membantu mangsa menyelesaikan kes berkenaan, mangsa diperkenalkan dengan individu yang menyamar sebagai pegawai penyiasat jenayah komersial bernama Tuan Chong. Mangsa diminta membayar wang ikat jamin sebanyak RM600,000 dengan cara membuka akaun Agrobank.

"Pada 8 September lalu mangsa membuka akaun Agrobank di cawangan Pekan dan mangsa sekali lagi diarahkan supaya semua wang simpanan miliknya dimasukkan ke dalam akaun itu dan menghantar gambar kad ATM serta buku akaun kepadanya (Tuan Chong) bagi tujuan pemantauan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semalam, mangsa membuat semakan dan mendapati baki di dalam akaun bank miliknya hanya tinggal sebanyak RM132.31 dan segera ke Agrobank cawangan Pekan untuk membuat semakan dan meminta penyata akaun.

Mohd Wazir berkata, pihak bank menyatakan, terdapat 26 kali pemindahan wang ke akaun bank individu yang mangsa tidak kenali berjumlah RM438,900 bermula pada 8 September hingga kelmarin.

Katanya, mangsa yang merasa tertipu membuat laporan di Balai Polis Nenasi.

Berita Harian X