Isnin, 20 Disember 2021 | 8:56pm
Pemeriksaan doktor mendapati kanak-kanak berkenaan juga diliwat. - Foto hiasan NSTP
Pemeriksaan doktor mendapati kanak-kanak berkenaan juga diliwat. - Foto hiasan NSTP

Kanak-kanak dirogol depan ibu

PASIR PUTEH: Seorang wanita terpaksa menyaksikan anak perempuannya dirogol bekas suami dalam kejadian di Kampung Batu Sebutir, di sini.

Dalam kejadian Selasa lalu, wanita berusia 34 tahun itu mendakwa, dia dan anak berusia lapan tahun berada di rumah ibu angkatnya, sebelum anaknya dipaksa memakan pil kuda oleh bekas suami yang juga bapa tiri kanak-kanak itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata suspek kemudian merogol kanak-kanak itu di depan ibu mangsa.

"Wanita itu memberitahu dia tidak mampu menghalang perbuatan suspek kerana bimbang dipukul.

"Pada hari sama, kanak-kanak itu turut dirogol seorang lagi suspek, iaitu bapa saudaranya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, wanita berkenaan melarikan diri bersama anaknya dan menghubungi beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bagi memohon pertolongan menerusi Facebook.

"Kanak-kanak itu menjalani pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

"Hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak bukan sahaja dirogol tetapi turut diliwat," katanya.

Shafien berkata, ibu mangsa sudah membuat laporan polis pada Khamis lalu dan bertindak atas aduan mangsa, polis menahan dua suspek berusia 46 dan 39 tahun yang dipercayai bapa tiri dan bapa saudara mangsa, dua hari kemudian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, 377C Kanun Keseksaan, 14(a) dab 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

"Polis menahan kedua-dua mereka bagi membantu siasatan dan hasil ujian air kencing mendapati keduanya positif methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman hingga Jumaat ini, manakala mangsa diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Berita Harian X