Isnin, 20 Disember 2021 | 1:05pm

116 pegawai, anggota polis terbabit pelbagai salah laku

KOTA BHARU: Seramai 116 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan terbabit dalam pelbagai kes salah laku dan masalah disiplin sejak Januari hingga Disember tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata antara bentuk kesalahan ialah jenayah, dadah, hubungan intim, kahwin tanpa kebenaran, rasuah, tidak hadir tugas dan lain-lain salah laku.

"Kesalahan yang paling ketara adalah berhubung penyalahgunaan dadah yang membabitkan 18 kes, diikuti jenayah 11 kes dan rasuah sebanyak tiga kes, manakala lain-lain salah laku, 46 kes.

"Bagaimanapun sebanyak 61 kes sudah selesai dan ada antara mereka dibuang kerja dan didenda mengikut kesalahan yang dilakukan, manakala baki 55 kes lagi masih dalam siasatan," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Disember 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Shafien berkata, seramai 31 anggota dan seorang pegawai dikenakan tindakan dengan ditahan kerja membabitkan dadah sebanyak 18 kes, jenayah 11 kes dan tiga kes rasuah.

"Sementara empat lagi anggota digantung kerja atas kesalahan dadah serta jenayah syariah masing-masing sebanyak dua kes.

"Selain itu, tujuh anggota dibuang kerja, lapan didenda, 15 diberi amaran, dan empat dikenakan surat teguran atas salah laku yang dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima berita palsu yang disebarkan mengenai banjir disebabkan masyarakat kini lebih peka mengenai info banjir melalui portal rasmi yang disediakan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar pada Perhimpunan Bulanan Disember 2021 di IPK Kelantan, hari ini. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar pada Perhimpunan Bulanan Disember 2021 di IPK Kelantan, hari ini. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X