Ahad, 19 Disember 2021 | 6:13pm
Gambar tular di media sosial berkenaan tanah runtuh di Selayang - Foto NSTP
Gambar tular di media sosial berkenaan tanah runtuh di Selayang - Foto NSTP

Paip pecah akibatkan tanah runtuh

KUALA LUMPUR: Satu kejadian tanah runtuh dikesan berlaku berhampiran Pangsapuri Teratai di Bandar Baru Selayang, dekat Gombak, malam tadi.

Jurucakap Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata, pemeriksaan awal mendapati kejadian berpunca daripada paip Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) pecah pada jam kira-kira 9 malam itu.

"Tindakan awal Unit Cerun Jabatan Kejuteraan MPS adalah menutup paip itu dan airnya dilencongkan ke longkang berdekatan.

"Kita akan meratifikasi kejadian itu secara menyeluruh selepas situasi hujan lebat dan banjir kembali reda. Saya turut dimaklumkan tiada mangsa cedera akibat kejadian berkenaan," katanya kepada BH, hari ini.

Sementara itu, penduduk pangsapuri berkenaan, Muzarina Mustapa ketika dihubungi berkata, secara kebiasaan insiden pokok tumbang berlaku dari semasa ke semasa, namun tanah runtuh adalah kali pertama berlaku di kawasan berkenaan.

"Pangsapuri itu di kawasan bukit maka terkesan dengan kejadian tanah runtuh terbabit. Alhamdulillah, saya dimaklumkan tiada yang cedera akibat kejadian itu.

"Beberapa anggota polis juga ada di kawasan ini untuk memantau dan membuat kawalan susulan kejadian berkenaan," katanya.

Difahamkan kejadian tanah runtuh turut berlaku di bahu jalan berdekatan Tahfiz Al-Munawarah, Taman Melawati dan Jalan Bunga Anggerik Dataran Ukay, Hulu Klang, dekat Ampang, malam tadi.

Berita Harian X