Jumaat, 17 Disember 2021 | 4:03pm

Mahasiswa diperdaya 'juruterbang'

KUANTAN: Perkenalan enam hari dengan lelaki warga asing melalui laman sosial Instagram telah menjerat seorang mahasiswa berusia 20 tahun sehingga kerugian RM2,400 akibat ditipu sindiket 'love scam'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang juga mahasiswa di sebuah universiti awam dari Rompin, telah berkenalan dengan suspek di Instagram pada 9 Disember lalu.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai Mohamad Alex, dari Nigeria dan bekerja sebagai juruterbang serta kini menetap di United Kingdom," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, suspek menyatakan dia ingin menghantar hadiah kepada mangsa berupa beg tangan, barang kemas, baju serta wang tunai sebagai menghargai perkenalan mereka selama enam hari.

"Pada Rabu lalu, mangsa telah menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp kononnya daripada ejen kurier memberitahu bungkusan yang dikirimkan kepada mangsa telah sampai.

"Mangsa diminta untuk membuat pembayaran kos penghantaran sebanyak RM3,000 namun mangsa hanya membayar sebanyak RM2,400 ke satu akaun bank yang diberikan suspek.

"Suspek terus meminta wang daripada mangsa sebelum gadis berkenaan tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X