Khamis, 16 Disember 2021 | 1:44pm
Anggota polis membawa kanak- kanak perempuan berusia 7 tahun untuk memberi keterangan di Balai Polis Iskandar Puteri, Johor. - Gambar hiasan NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Anggota polis membawa kanak- kanak perempuan berusia 7 tahun untuk memberi keterangan di Balai Polis Iskandar Puteri, Johor. - Gambar hiasan NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Polis tahan suspek culik kanak-kanak

JOHOR BAHRU: Polis menahan lelaki yang melarikan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dari depan rumah di Taman Teratai, Kangkar Pulai.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata suspek berusia 36 tahun itu ditahan 4.45 petang semalam di Kampung Kangkar Baru, Yong Peng.

Katanya, hasil siasatan polis, suspek melarikan seorang kanak-kanak perempuan kira-kira jam 5.30 petang Selasa lalu dengan menaiki kereta.

"Kemudian suspek membawa mangsa ke Stulang Laut di sini dan melakukan samun terhadap seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berumur lingkungan 20 tahun dan mengakibatkan kerugian anggaran RM500.

"Mangsa diarahkan oleh suspek untuk merakam kejadian amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di dalam kereta yang dipandu oleh suspek.

"Suspek meninggalkan lelaki OKU terbabit di tepi jalan Stulang Laut dalam keadaan selamat, manakala kanak-kanak terbabit yang dalam ketakutan serta trauma ditemui orang awam di depan kedai makan di Kangkar Pulai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, suspek direman lima hari bermula hari ini.

Katanya, kereta suspek berwarna kelabu dan sebuah telefon bimbit juga dirampas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya.

Semalam, media melaporkan sepasang suami isteri trauma selepas anak sulung mereka yang berusia tujuh tahun hilang dipercayai diculik dari kediaman mereka di Taman Teratai.

Mangsa ditemui selamat di belakang rumah kedai kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya, enam jam selepas dia dilaporkan hilang.

Berita Harian X