Ahad, 12 Disember 2021 | 12:14pm
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyampaikan sijil penghargaan kepada Asisten Superintendah Nurul Akmar Hassan pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini. - BERNAMA
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyampaikan sijil penghargaan kepada Asisten Superintendah Nurul Akmar Hassan pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini. - BERNAMA

18 anggota polis Johor dibuang kerja

JOHOR BAHRU: Seramai 18 pegawai rendah dan seorang pegawai awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor dikenakan tindakan buang kerja atas pelbagai kesalahan dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata terdapat 11 lagi kes membabitkan salah laku tatatertib untuk tindakan buang kerja melibatkan pegawai rendah polis bagi tahun ini.

"Bagi pencapaian Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) kontinjen dari Januari hingga November tahun ini, sebanyak 256 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) telah dibuka dan daripada jumlah itu, 228 telah selesai dengan pencapaian sebanyak 89 peratus.

"Bagi tempoh sama, seramai 18 pegawai rendah polis dan pegawai awam kontinjen Johor dibuang kerja melibatkan pelbagai kesalahan. Terdapat 11 lagi kes melibatkan salah laku tatatertib untuk tindakan buang kerja membabitkan pegawai rendah polis bagi tahun ini," katanya pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Pegawai rendah polis membabitkan petugas yang berpangkat sub-inspektor, sarjan mejar, sarjan, koperal, lans koperal dan konstabel.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, kes jenayah indeks di Johor menurun sebanyak 40 peratus kepada 4,036 kes dalam tempoh Januari hingga November lalu berbanding 6,726 kes bagi tempoh sama 2020 dengan jenayah kekerasan turun sebanyak 32.62 peratus dan jenayah harta benda turun 41.68 peratus.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri pula berjaya menangkap 12,828 individu atas pelbagai kesalahan dadah dalam tempoh berkenaan, merampas 12.38 tan dadah bernilai RM375.93 juta dan menyita pelbagai aset sindiket dadah bernilai RM30.09 juta. Ia rampasan dan sitaan kedua tertinggi di antara kontinjen.

"JSJN juga membongkar lima makmal haram dadah dan enam stor dadah dengan nilai rampasan dan sitaan RM355.34 juta. Dalam tempoh sama, sebanyak 20 sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan dengan skala tangkapan dan rampasan besar dalam sejarah JSJN dan negara," katanya.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) membuka 2,764 kertas siasatan berbanding 3,822 dalam tempoh sama tahun lalu, pengurangan sebanyak 27.4 peratus yang menunjukkan keberkesanan tindakan pencegahan dalam memberi kesedaran kepada rakyat untuk sentiasa berwaspada sebelum melakukan transaksi dalam talian.

"Dari segi pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI), JSJK telah mencapai peningkatan sebanyak 10.5 peratus yang mana kadar pertuduhan sebanyak 48.5 peratus dibuat dari Januari hingga 18 November tahun ini, berbanding 38 peratus pada tahun lalu.

"Dalam menangani aspek keharmonian kaum, Cawangan Khas Johor berjaya menjadikan negeri ini bebas daripada insiden berbaur perkauman akibat pertembungan politik melampau," katanya.

Berita Harian X