Jumaat, 10 Disember 2021 | 6:09pm
Ketulan mampat dadah seberat 117 kilogram yang dirampas polis di Pulau Pinang dan Kedah, semalam dan kelmarin.
Ketulan mampat dadah seberat 117 kilogram yang dirampas polis di Pulau Pinang dan Kedah, semalam dan kelmarin.

Suami isteri, adik-beradik dalang edar ganja ditahan polis

KEPALA BATAS: Satu sindiket pengedaran dadah terdiri daripada pasangan suami isteri dan adik beradik mereka tumpas susulan tiga serbuan polis di Pulau Pinang dan Kedah pada kelmarin dan semalam.

Dalam tiga serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang itu, polis merampas sejumlah 107 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM267,500.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, berkata serbuan pertama dibuat di kawasan Sungai Dua, Butterworth pada jam 8.40 malam kelmarin.

"Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki pekerja kilang yang menaiki motosikal sebelum pemeriksaan ke atas mereka menemui lima ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 5 kg.

"Susulan penahanan dua suspek itu membawa kepada serbuan seterusnya pada jam 9.50 malam (hari sama) di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah sebelum polis menahan seorang wanita yang juga suri rumah selepas pemeriksaan di rumah didiami menemui empat guni didalamnya mengandungi 100 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 102 kg.

"Siasatan terhadap suspek ketiga membolehkan polis menahan seorang lagi suspek lelaki iaitu suami wanita berkenaan di Sungai Ara, Bayan Lepas pada jam 12.45 pagi semalam untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Mohd Radzi berkata, siasatan turut mendapati bahawa suspek pertama dan ketiga juga adalah adik beradik yang mana keempat-empat individu berusia lingkungan 25 hingga 33 tahun yang ditahan itu melakukan kegiatan pengedaran dadah berkenaan sejak Jun tahun lalu.

"Dadah yang dianggarkan untuk kegunaan 210,000 penagih dadah ini dipasarkan dalam pasaran tempatan dan polis masih menyiasat siapa dalang di sebalik kegiatan ini.

"Selain rampasan dadah, polis turut menyita kenderaan seperti motosikal dan kereta yang digunakan suspek serta wang tunai dengan jumlah keseluruhan termasuk dadah dianggarkan bernilai RM340,500," katanya.

Mohd Radzi berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati salah seorang daripada yang ditahan positif dadah.

"Dua daripada empat suspek yang ditahan juga mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

"Suspek pertama dan kedua kini direman selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 Disember ini manakala suspek ketiga dan keempat direman selama lima hari bermula 9 hingga 13 Disember ini," katanya.

Dalam tangkapan berasingan, Mohd Radzi berkata, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dan merampas hampir 10.3 kg ganja bernilai RM25,693 hasil serbuan di kawasan Penaga dekat jam 3 pagi tadi.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah dan turut memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Kedua-dua kes itu kini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X