Isnin, 6 Disember 2021 | 3:12pm
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar (dua dari kiri) menunjukkan barang kes dirampas dari seorang lelaki yang disyaki memecah kedai dan kenderaan di Genting Highlands. - NSTP/ROSELAN AB MALEK
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar (dua dari kiri) menunjukkan barang kes dirampas dari seorang lelaki yang disyaki memecah kedai dan kenderaan di Genting Highlands. - NSTP/ROSELAN AB MALEK

Suami isteri disyaki pecah kedai, kenderaan di Genting Highlands

BENTONG: Sepasang suami isteri, kedua-duanya penganggur yang dipercayai terbabit dalam tujuh kes pecah kedai dan kenderaan di kawasan peranginan Genting Highlands, berjaya ditahan polis pada Khamis dan semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar, berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor, kira-kira jam 12.35 tengah hari Khamis lalu, manakala isterinya berusia 33 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong, kira-kira jam 10.35 pagi semalam.

"Hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu dan kenderaan dipandunya menemui barang-barang yang dipercayai dicuri di Genting Highlands. Hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dengan dua kejadian curi dalam bangunan dan tiga kejadian pecah kenderaan di Genting Highlands

"Dia juga mengaku melakukan kegiatan itu bersama isterinya," katanya hari ini sambil menambah, antara barang yang dirampas polis daripada suspek ialah wang tunai RM400, perkakasan audio kenderaan, lima telefon bimbit pelbagai jenama, tiga beg rangkaian kunci, alat komunikasi 'walkie-talkie' dan beg kulit.

Turut dirampas, katanya, adalah beberapa peralatan seperti pemotong wayar, alat penguji 'test pen', pisau, penggerudi dan lampu suluh yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk kedai dan kenderaan, manakala PERODUA Bezza dipandu susupek yang dipercayai disewa dari 29 November hingga 2 Januari depan disita.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu mendapati dia positif methampethmine dan ganja, selain mempunyai lima rekod jenayah membabitkan tiga kes ragut, satu kes berkaitan imigresen dan satu kes dadah.

"Polis juga menemui dadah pada tubuh suspek, iaitu tiga plastik mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dan satu plastik ketulan mampat ganja. Lelaki terbabit ditahan reman selama tujuh hari bermula 2 Disember lalu, manakala isterinya direman empat hari mulai 5 Disember," katanya.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Suspek lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 6, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X