Isnin, 6 Disember 2021 | 1:14pm

Remaja 14 tahun antara 4 dicekup pecah kedai

KUBANG PASU: Polis memberkas tiga individu termasuk seorang pelajar tingkatan dua, Khamis lalu kerana terbabit dalam jenayah pecah kedai berkumpulan di daerah ini, sejak empat bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, mereka yang ditahan dipercayai menjadi anggota 'Geng Man Muncung'.

Katanya, individu terbabit ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di hadapan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Taman Pulasan, di sini antara jam 8.45 malam hingga 10.30 malam.

Beliau berkata, suspek berusia 14 hingga 33 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan kes pecah kedai di Ayer Hitam, pada awal pagi hari sama.

"Remaja yang ditahan tidak memiliki rekod jenayah manakala tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.

"Dalang utama geng ini berusia 33 tahun, pernah terbabit dalam kegiatan pecah masuk syarikat kurier di Alor Setar, beberapa bulan lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu, Asisten Superintendan Mohd Shuhaimi Joohari.

Rodzi berkata, kumpulan ini dipercayai melakukan 10 kes jenayah pecah kedai di daerah Kubang Pasu sejak Ogos hingga November lalu.

Katanya, modus operandi kumpulan itu adalah menyewa kereta untuk melakukan kegiatan pecah kedai dan bergerak waktu malam dan awal pagi.

"Mereka akan mencabut fius elektrik di luar kedai bagi mengelak perbuatan mereka dirakam kamera rakaman litar tertutup (CCTV) sebelum masuk ke kedai melalui pintu atau tingkap diumpil.

"Sasaran mereka kedai runcit di kawasan kampung dan mencuri barang keperluan harian seperti minuman, roti, alat pencukur serta pemetik api," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas sebatang besi kuku kambing, satu pemotong besi dan pemutar skru, sarung tangan, lima telefon bimbit dan sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai disewa untuk melakukan jenayah itu.

"Turut dirampas, sejumlah pemetik api dan pisau cukur dipercayai hasil curi di kedai dipecah masuk mereka.

"Kesemua suspek direman lima hari bermula semalam sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Rodzi (dua dari kanan) menunjukkan peralatan dirampas selepas menahan empat suspek terbabit jenayah pecah kedai di daerah Kubang Pasu. FOTO NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Rodzi (dua dari kanan) menunjukkan peralatan dirampas selepas menahan empat suspek terbabit jenayah pecah kedai di daerah Kubang Pasu. FOTO NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Berita Harian X