Ahad, 5 Disember 2021 | 4:15pm
 Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Dera anak sampai mati, polis tahan reman ibu, teman lelaki

JOHOR BAHRU: Polis menahan reman seorang wanita dan teman lelakinya selama tujuh hari bermula semalam kerana disyaki mendera kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang juga anak wanita itu sehingga mati.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mereka direman sehingga Jumaat ini bagi membantu melengkapkan siasatan kes terbabit sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Mereka direman tujuh hari sehingga 10 Disember ini. Tiada tangkapan lain dibuat, sebaliknya hanya dua suspek ini iaitu ibu kandung mangsa dan teman lelakinya.

"Mayat mangsa masih belum dituntut dan masih berada di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Ibu mangsa sebelum ini bekerja sebagai pekerja pembersihan di Singapura. Difahamkan ibunya sudah banyak kali berkahwin dan mempunyai lapan anak, tetapi tidak mendaftarkan perkahwinannya di negara ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, (IPK) di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan kematian kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dipercayai didera ibu kandung dan teman lelaki ibunya, selepas polis menerima panggilan daripada petugas HSA mengenai kematian kanak-kanak terbabit pada kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata siasatan awal mendapati mangsa tinggal di Taman Nusa Bestari, di sini, bersama ibu kandung dan teman lelaki ibunya, selain seorang adik dan kakak.

Katanya, pemeriksaan ke atas badan mangsa menemui kecederaan di mulut dan lebam di seluruh bahagian depan serta belakang badan kemungkinan akibat didera.

"Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Johor menjumpai getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan 'poly pipe' di atas sofa serta kesan darah (swab) di rumah suspek yang kemudiannya semua barang kes dirampas.

"Pemeriksaan awal pihak HSA mendapati mangsa sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita Harian X