Ahad, 5 Disember 2021 | 8:39am
Foto hiasan
Foto hiasan

Wanita terpedaya, rugi RM60,000

KUANTAN: Wanita berusia 68 tahun kerugian RM60,000 selepas terpedaya dengan seorang lelaki yang dikenali menerusi media sosial, sejak Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa mula berkenalan dengan suspek pada 2 Ogos lalu melalui Facebook.

"Suspek mendakwa dia bekerja di sebuah pelantar minyak di Australia dan hubungan mereka semakin rapat, selepas sering berbalas mesej melalui Whatsapp," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, pada 30 November lalu, suspek meminta bantuan wang dengan mendakwa mahu membeli mesin pelantar minyak dan mangsa mempercayainya.

"Mangsa membuat tiga transaksi sebanyak RM60,000 ke akaun bank yang diberikan suspek. Selepas itu, suspek gagal dihubungi menyebabkan mangsa merasa ditipu.

"Mangsa datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam untuk membuat laporan berhubung kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan modus operandi love scam," katanya.

Berita Harian X