Jumaat, 3 Disember 2021 | 11:29pm
Empat remaja ditahan selepas 30 minit dikejar polis. Ketika melarikan diri dipercayai kerana tiada lesen memandu, mereka melalui Lebuhraya MRR2 hingga ke arah Seksyen 10, Wangsa Maju, malah mereka juga turut melanggar kereta polis sebelum dapat ditahan. - Foto PDRM
Empat remaja ditahan selepas 30 minit dikejar polis. Ketika melarikan diri dipercayai kerana tiada lesen memandu, mereka melalui Lebuhraya MRR2 hingga ke arah Seksyen 10, Wangsa Maju, malah mereka juga turut melanggar kereta polis sebelum dapat ditahan. - Foto PDRM

'Buat huru hara hanya kerana tiada lesen'

KUALA LUMPUR: Seorang remaja berusia 15 tahun sanggup membahayakan diri dan tiga rakannya selepas melarikan diri dengan memandu sebuah kereta dari Bukit Antarabangsa, di sini, ke Wangsa Maju, selepas dikejar polis.

Semua mereka berusia antara 15 hingga 19 tahun berbuat sedemikian selepas dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, yang melakukan rondaan cegah jenayah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata keempat-empat mereka dikesan menaiki kereta jenis Naza Citra sekitar jam 5.35 petang tadi.

"Semasa anggota MPV mengarahkan mereka untuk berhenti dengan memberikan amaran awal, remaja terbabit terus melarikan diri dan memecut kenderaan mereka.

"Dalam masa 30 minit berlaku adegan pihak polis mengejar remaja terbabit melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sehingga ke arah Seksyen 10, Wangsa Maju, malah mereka juga turut melanggar kereta polis jenis Proton Preve, sebelum dapat ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada BH hari ini.

Mohamed Farouk berkata hasil siasatan awal mendapati remaja terbabit sebenarnya panik ketika diarahkan berhenti hanya kerana tidak mempunyai lesen memandu.

Hasil siasatan mendapati remaja terbabit sebenarnya panik ketika diarahkan berhenti hanya kerana tidak mempunyai lesen memandu. - Foto PDRM
Hasil siasatan mendapati remaja terbabit sebenarnya panik ketika diarahkan berhenti hanya kerana tidak mempunyai lesen memandu. - Foto PDRM

"Kita menjalankan saringan ujian air kencing ke atas kesemua mereka dan didapati tiada pembabitan dalam penyalahgunaan dadah, tiada rekod jenayah selain kereta yang digunakan tidak dilaporkan hilang.

"Sehubungan itu saya menasihatkan orang ramai untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain dan orang ramai semasa ditahan pihak polis untuk pemeriksaan lanjut bagi mengelak berlakunya situasi lebih buruk," katanya.

Kes disiasat di bawah Kaedah 10, Pengangkutan Jalan berserta dua saman sampingan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu tiada lesen memandu serta tidak dilindungi insuran dan Seksyen 55 akta yang sama kerana enggan memberhentikan kenderaan yang dipandu.

Saksi bebas yang menyaksikan kejadian polis mengejar remaja ini diminta untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, IPD Ampang Jaya, Inspektor Nurul Faizah Ismail di talian 019-2863481.

Berita Harian X