Selasa, 30 November 2021 | 1:27pm
Operasi khas bagi mendidik masyarakat patuh kepada undang-undang jalan raya. - Foto hiasan
Operasi khas bagi mendidik masyarakat patuh kepada undang-undang jalan raya. - Foto hiasan

Operasi khas kesan nombor plat 'fancy'

PORT DICKSON: Sebanyak 122 kenderaan diperiksa dan 49 saman dikeluarkan dalam operasi khas bersepadu Polis Trafik Daerah Port Dickson dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, operasi khas bermula jam 3.30 petang hingga jam 6 petang khusus bagi mengesan kesalahan nombor pendaftaran di Kilometer 11, Jalan Seremban - Port Dickson di Lukut.

"Operasi memberikan tumpuan kepada pemilik kenderaan persendirian dan perdagangan yang melakukan kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran 'fancy' atau sudah diubah suai.

"Ia juga tidak mengikut peraturan tanpa mendapat kelulusan JPJ di bawah Seksyen 14(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 108(3)(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah 6(1) LN 173/1969," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, operasi lebih dua jam itu lapan pegawai dan anggota Polis Trafik dan empat pegawai JPJ.

"Sebanyak 31 motosikal, 76 kereta, lima van dan 10 kenderaan pelbagai guna (Mpv) diperiksa dan 49 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya.

Tambahnya, 30 saman dikeluarkan khusus untuk kesalahan nombor pendaftaran bagi semua jenis kenderaan.

"Tindakan pihak JPJ pula, sebanyak 22 saman dikeluarkan termasuk 21 kompaun dikeluarkan.

"Sebanyak 10 notis arahan pemeriksaan adalah mengikut Seksyen 61(1) dan jumlah kenderaan yang diambil tindakan oleh pihak JPJ adalah 10 buah kereta dan buah motosikal," katanya.

Berita Harian X