Jumaat, 26 November 2021 | 3:25pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Guru sambilan rugi RM140,000 diperdaya penyamar polis

JOHOR BAHRU: Seorang guru sambilan kerugian RM140,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai polis, kononnya untuk membantu mengurangkan hukuman bersabit kes pengedaran dadah terhadap abangnya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata wanita tempatan berusia 38 tahun itu mula menyedari ditipu apabila diminta membuat pembayaran tambahan berjumlah RM50,000, sebelum membuat laporan polis, kira-kira jam 12.52 tengah hari, kelmarin.

Katanya, kejadian berlaku pada 11 November lalu, ketika mangsa berada di rumah sebelum didatangi seorang suspek lelaki menaiki sebuah kereta yang mempunyai lambang polis.

"Suspek meminta pengesahan, sama ada mangsa mengenali seorang lelaki iaitu abang kepada mangsa yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pengedaran dadah.

"Suspek pertama kemudiannya mengarahkan mangsa untuk berhubung dengan seorang lelaki lain iaitu suspek kedua dikenali sebagai Tuan Nazri dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menerusi talian 016-4420728.

"Selang beberapa minit kemudian, mangsa menghubungi suspek kedua dan dimaklumkan sekiranya ingin mengurangkan hukuman terhadap abangnya sebagai syarat mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM100,000 ke akaun yang diberikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata, pada 12 November lalu, mangsa membuat pemindahan wang terbabit dan memaklumkan kepada suspek bahawa wang sudah dipindahkan.

Katanya, pada hari sama juga, suspek turut meminta mangsa untuk membuat pemindahan wang tambahan sebanyak RM 40,000 dan mangsa melakukannya.

"Selepas kesemua transaksi dibuat, mangsa ke IPK Johor dan berhubung dengan suspek kedua semula, namun tiada sebarang jawapan yang diterima dari suspek.

"Tidak lama kemudian, mangsa menerima panggilan dari suspek menggunakan nombor 07-2254422 dan meminta mangsa untuk pulang ke rumah.

"Selang beberapa hari, suspek menghubungi mangsa dan memintanya untuk membuat pembayaran tambahan berjumlah RM 50,000, namun mangsa enggan membuat sebarang bayaran kerana mengesyaki dirinya ditipu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berita Harian X