Rabu, 24 November 2021 | 10:49am
Lori tangki muatan minyak diesel bersubsidi yang dirampas. - Foto NSTP/Ihsan PGA
Lori tangki muatan minyak diesel bersubsidi yang dirampas. - Foto NSTP/Ihsan PGA

PGA rampas 64,000 liter diesel diseleweng

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan 64,000 liter minyak diesel dalam serbuan di jeti nelayan Kampung Nelayan, Batu Putih, Sandakan, kelmarin.

Dalam Operasi Bersepadu jam 9 malam itu, semua minyak diesel bersubsidi dan lori tangki yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.08 juta.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias, berkata serbuan dijalankan pasukan Tiger Platoon Batalion 15 bersama pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Operasi Cegah Pati (OCP) ESSCOM.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui dua lori tangki dan tangki yang berisi keseluruhan 64,000 liter minyak diesel bersubsidi.

"Dalam operasi itu, pasukan operasi turut menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyelewengan berkenaan untuk membantu siasatan lanjut.

"Turut disita dua lori tangki bersama beberapa peralatan pam minyak untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan dan serbuan itu mendapati telah disyaki berlaku penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

"Semua barangan rampasan itu dianggarkan bernilai RM1.08 juta.

"Kes diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Berita Harian X