Isnin, 22 November 2021 | 1:52pm

Bekas pasangan kekasih bebas hukuman dadah

JOHOR BAHRU: Bekas pasangan kekasih terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi, di sini, mengetepikan sabitan atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang membuat keputusan itu, membebaskan Goo Woei Tye, 33, dan Yang Wendy, 25, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Woei Tye yang juga jurujual menghadapi satu pertuduhan memiliki dadah jenis 3,4 Methylenedioxy methamphetamine (MDMA) seberat 2.78 gram.

Kedua-dua tertuduh secara bersama menghadapi tiga pertuduhan mengedar dadah jenis 3,4 MDMA seberat 91.22 gram dan 71.33 gram, selain ketamin seberat 14.89 gram.

Selain itu, tertuduh lelaki bersama bekas pasangannya yang juga peniaga dalam talian secara bersama didakwa memiliki dadah jenis 3,4 MDMA seberat 40.14 gram.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pangsapuri di Jalan Dato' Abdullah Tahir, di sini, kira-kira jam 6.45 petang, 15 November 2017.

Bagi pertuduhan mengedar dadah, pasangan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, membawa hukuman gantung sampai hati.

Bagi pertuduhan memiliki dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebatan.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan itu berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan R K Menon.

Woei Tye, 33, dan Yang Wendy, 25, terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan mereka tanpa dipanggil membela diri atas lima pertuduhan mengedar serta memiliki dadah empat tahun lalu. FOTO NSTP/ NUR AISYAH MAZALAN
Woei Tye, 33, dan Yang Wendy, 25, terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan mereka tanpa dipanggil membela diri atas lima pertuduhan mengedar serta memiliki dadah empat tahun lalu. FOTO NSTP/ NUR AISYAH MAZALAN
Berita Harian X