Sabtu, 20 November 2021 | 3:06pm

Suami isteri proses dadah di inap desa

GEORGETOWN: Polis menahan dua pasangan suami isteri dipercayai terbabit dalam sindiket dadah dan membongkar makmal memproses barang terlarang itu di sebuah inap desa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata dalam serbuan sekitar Pulau Pinang dan Kedah itu, pihaknya merampas pelbagai dadah bernilai RM126,840, dipercayai boleh digunakan oleh 64,139 penagih.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati tiga daripada empat individu terbabit positif dadah dan seorang daripada lelaki yang ditahan mempunyai kepakaran menghasilkan dadah.

"Lelaki itu bertindak sebagai tukang 'masak' dadah yang dipercayai dipelajarinya sejak puluhan tahun lalu melalui rakannya dan kini melatih beberapa rakan lain cara menghasilkan dadah.

"Polis sedang mengesan 'anak murid' lelaki itu dan siasatan mendapati lelaki itu mendapat bekalan dadah daripada rangkaian sindiket pengedaran dadah di Sungai Petani, Kedah.

"Beliau memproses dadah itu dan kemudian, menyerahkannya kepada pasangan suami isteri pertama untuk diedarkan. Kedua-dua pasangan itu saling mengenali dan aktif memproses serta mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak pertengahan tahun ini," katanya.

Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan pasangan suami isteri berusia 50 tahun dan 40 tahun di sebuah rumah di Bukit Mertajam pada 12 tengah hari, Selasa lalu.

Hasil tangkapan itu, katanya, polis menemui lima ketul ganja bernilai RM12,550 di dalam sebuah kereta yang diletakkan di sebuah rumah di Air Itam, di sini dan 14 gram heroin bernilai RM3,990 di rumah keluarga wanita berkenaan.

Mustafa Kamal Gani berkata, siasatan mendapati lelaki itu mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah, manakala isterinya mempunyai satu rekod berkaitan dadah dan kedua-duanya dipercayai mengedar dadah di sekitar Bukit Mertajam dan daerah Timur Laut sejak Jun lalu.

Beliau berkata, susulan penahanan pasangan itu, polis menahan sepasang lagi suami isteri berusia 54 tahun dan 30 tahun, keesokannya serta merampas 13 bungkus heroin seberat 5,245.9 gram dianggarkan bernilai RM70,300.

Katanya, siasatan mendapati lelaki itu pakar memproses dadah dan polis kemudian menyerbu sebuah inap desa di Kulim, Kedah, yang disewa pasangan suami isteri itu pada kadar RM1,300 sebulan untuk dijadikan makmal memproses dadah.

"Polis merampas satu ketulan mampat heroin base seberat 375 gram, 60 gram heroin, 12 kilogram serbuk kafein, sebotol cecair klorofom serta pelbagai peralatan memproses dadah di inap desa itu," katanya.

Beliau berkata, pasangan terbabit menyewa inap desa itu sejak tiga minggu lalu dan polis sudah merekodkan keterangan pemilik premis itu untuk siasatan lanjut.

Kata Mustafa Kamal Gani, pasangan itu dipercayai sering berpindah-randah menyewa inap desa di sekitar negeri itu dan Kedah untuk memproses dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, semua yang ditahan itu kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah bersama pegawainya pelbagai jenis dadah dan peralatan memproses dadah yang dirampas di sekitar Pulau Pinang dan Kedah. - Foto BERNAMA
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah bersama pegawainya pelbagai jenis dadah dan peralatan memproses dadah yang dirampas di sekitar Pulau Pinang dan Kedah. - Foto BERNAMA
Berita Harian X