Rabu, 20 Oktober 2021 | 9:45pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Dua pekerja Alam Flora ditemui mati

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dan wanita pekerja pembersihan syarikat Alam Flora ditemui mati di dalam sebuah rumah di Setapak Jaya, di sini, pagi tadi.

Kedua-dua mayat berusia 50 dan 51 tahun itu ditemui selepas rakan mereka menghubungi polis, memandangkan kedua-duanya tidak hadir bekerja dan panggilan tidak dijawab.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata polis terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur untuk memecahkan pintu masuk rumah mangsa selepas terkunci dari dalam.

"Mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu, manakala mayat wanita pula terbaring di atas katil dalam bilik tidur utama.

"Siasatan dan pemeriksaan di lokasi serta anggota badan kedua-dua mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Berita Harian X