Jumaat, 17 September 2021 | 3:41pm
Keadaan mayat dan motosikal mangsa yang terjatuh di lokasi dan digilis lori
Keadaan mayat dan motosikal mangsa yang terjatuh di lokasi dan digilis lori

'Tragedi potong kiri ketika tunggang motosikal'

ALOR GAJAH: Seorang penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh, Johor maut digilis lori, apabila terjatuh daripada motosikal ditunggangnya selepas bergesel kenderaan itu di Jalan Hutan Percha di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, Taufik Hidayat Mohd Rasul, 20, meninggal dunia akibat parah di kepala.

Katanya, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa menunggang motosikal berasingan dengan bapanya dari arah Hutan Percha ke Taman Melaka Perdana.

"Menurut bapa arwah, mangsa belajar menunggang motosikal Honda, manakala bapanya menunggang motosikal lain dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Melaka Perdana.

"Mangsa dipercayai memotong di sebelah kiri sebuah lori yang nombor pendaftarannya tidak dikenal pasti, sebelum bergesel dengan kenderaan itu dan terjatuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa digilis kenderaan berat itu dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Katanya, siasatan mendapati ada kesan darah dan cebisan daging di atas jalan dan keadaan jalan lurus, satu lorong dua hala.

"Keadaan lalu lintas baik, begitu juga dengan keadaan cuaca dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat, sementara siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X