Jumaat, 17 September 2021 | 3:03pm
Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar rayuan Khairy terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM150,000 berhubung ceramah yang dibuatnya pada 2008. - FotoBERNAMA
Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar rayuan Khairy terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM150,000 berhubung ceramah yang dibuatnya pada 2008. - FotoBERNAMA

'Hujan atau ribut, rayuan tak boleh tangguh'

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, menegaskan tiada lagi penangguhan akan diberikan bagi rayuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung tuntutan saman fitnah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkaitan ceramah di Lembah Pantai, 13 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng, berkata selepas ini sekiranya peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Menteri Kesihatan itu tidak hadir pada prosiding rayuan yang dijadualkan pada 2 November ini, peguam kedua akan berhujah bagi pihaknya.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Darryl Goon Siew Chye berkata, kali ini penangguhan terakhir rayuan.

Kes ini bermula sejak 2017 dan panel itu akan menyelesaikannya pada tahun ini juga.

"Walau apapun yang berlaku (come rain or shine, fire or flood, pandemic or no pandemic), rayuan ini akan diteruskan meskipun peguam utama tidak hadir kerana masalah kesihatan," katanya menerusi prosiding dalam talian, Zoom.

Terdahulu pada prosiding itu, peguam Sarah Abishegam yang turut mewakili Khairy memaklumkan, Muhammad Shafee tidak hadir kerana mengalami rheumatoid arthritis dan sakit pada pergelangan tangan serta bahu.

Sarah berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Muhammad Shafee memaklumkan penyakit lama yang dihadapinya menyerang semula dan tidak dapat mengendalikan rayuan serta terpaksa memohon penangguhan.

Sementara itu, peguam J Leela yang hadir bagi pihak Anwar tidak membantah penangguhan yang dimohon perayu.

Mahkamah sepatutnya mendengar rayuan Khairy terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM150,000 berhubung ceramah yang dibuatnya pada 2008.

Pada 29 September 2017, Mahkamah Tinggi memutuskan Khairy memfitnah Anwar dan menolak permohonannya untuk mengubah pernyataan pembelaan.

Pada 19 Februari 2018, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Menteri Kesihatan itu atas sebab teknikal tanpa meritnya didengar.

Bagaimanapun, pada 15 Disember tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy dan mengarahkan Mahkamah Rayuan mendengar meritnya.

Berita Harian X