Rabu, 25 Ogos 2021 | 11:30am

JKDM rampas 9 juta batang rokok putih

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur) merampas sembilan juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM900,000 di kawasan Pelabuhan Utara, di sini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan, berkata pasukan operasi menahan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di lokasi berkenaan, kira-kira jam 11.50 pagi hujung bulan lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kontena itu menemui rokok putih yang diikrarkan sebagai pakaian dipercayai bagi mengelak daripada dikesan JKDM.

"Jumlah rampasan membabitkan sembilan juta batang rokok putih dengan anggaran nilai rampasan RM900,000 dan anggaran duti/cukai sebanyak RM6.03 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zazuli berkata, rokok diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga/Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 atas kesalahan cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

"Selain itu, cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai diminta membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

"Penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri.

Berita Harian X