Sabtu, 24 Julai 2021 | 9:01pm
Pasukan Polis Marin (PPM) merampas sejumlah 263,900 karton rokok tanpa cukai serta 249,624 botol bedak menerusi satu serbuan di sebuah gudang di kawan perindustrian Taman Klang Jaya dekat sini pada Khamis lalu. - Foto PPM
Pasukan Polis Marin (PPM) merampas sejumlah 263,900 karton rokok tanpa cukai serta 249,624 botol bedak menerusi satu serbuan di sebuah gudang di kawan perindustrian Taman Klang Jaya dekat sini pada Khamis lalu. - Foto PPM

Rokok, bedak seludup RM9.03 juta dirampas

KLANG: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas sejumlah 263,900 karton rokok serta 249,624 botol bedak menerusi satu serbuan di sebuah gudang di kawan perindustrian Taman Klang Jaya dekat sini, Khamis lalu.

Komander PPM Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, rampasan barangan yang dianggarkan bernilai RM9.03 juta itu dilakukan menerusi Op Kontraband yang dijalankan Unit Risikan Marin (URM) PPM Pelabuhan Klang.

Katanya, menerusi operasi pada jam 10.45 pagi Khamis lalu, pasukan serbuan dilakukan terhadap sebuah gudang yang mencurigakan di Taman Klang Jaya dekat sini.

"Sebaik sahaja tiba di lokasi itu, didapati pintu gudang bertutup tetapi tidak berkunci. Anggota kita menyerbu masuk gudang dan mendapati sebuah kontena berisi 263,900 karton rokok yang tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM913,720 serta nilai cukai berjumlah RM5.62 juta.

"Turut ditemui dalam gudang itu adalah sejumlah kotak berisi bedak yang dipercayai tidak mempunyai kelulusan mengikut Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984 yang dianggarkan bernilai RM2.49 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas gudang itu turut menemui kesan umpil pada tingkap bilik air dipercayai digunakan oleh ahli sindiket melarikan diri ketika menyedari kehadiran pasukan serbuan.

"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya gudang berkenaan dijadikan transit sebelum rokok serta bedak itu diedarkan.

"Kita juga percaya sindiket menyewa gudang dalam jangkamasa pendek untuk menjalankan aktiviti pemindahan rokok dari kontena ke lori," katanya.

Mohd Yusoff berkata, rokok dan kontena yang dirampas mengikut Akta Kastam 1967 diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) manakala bedak diserahkan kepada Bahagian Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk tindakan lanjut.

Katanya, menerusi operasi itu pihaknya turut merampas sebuah treler dan kontena bernilai RM60,000 menjadikan nilai rampasan keseluruhan adalah berjumlah RM9.09 juta.

Berita Harian X