Khamis, 22 Julai 2021 | 2:50pm
Laporan dalam BH Online hari ini.
Laporan dalam BH Online hari ini.

Polis berpesta dalam balai digantung tugas

KUALA LUMPUR: Ketua Balai Polis dan tiga anggota yang berpesta di dalam balai di daerah Kajang, digantung tugas serta-merta, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata mereka juga ditukarkan serta-merta ke Bahagian Pentadbiran, Ibu Pejabat Polie Daerah (IPD) Kajang sehingga siasatan ke atas mereka selesai.

Katanya, arahan pertukaran serta-merta itu dibuat selepas mereka dikesan melakukan kesalahan berdasarkan serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, kelmarin.

"Saya mengesahkan mereka ditukarkan serta-merta bagi membolehkan siasatan dibuat dan Polis Selangor mengarahkan seorang anggota berpangkat Sub-Inspektor mengambil alih tugas sebagai Ketua Balai Polis, di balai polis berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. - Foto NSTP
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. - Foto NSTP

"Ini bagi membolehkan segala urusan harian di balai terbabit dengan masyarakat dan penduduk di kawasan berkenaan berjalan lancar," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Seorang Ketua Balai Polis bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam ditahan hasil serbuan Bukit Aman, ketika mereka berhibur dalam bilik khas di balai polis diketuainya, dalam daerah Kajang di sini, petang kelmarin.

Serbuan dijalankan pasukan daripada Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, pada jam 6 petang, sebaik menerima maklumat dari orang awam.

Ketika serbuan terhadap balai berkenaan, sebahagian daripada mereka dipercayai sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam sebuah bilik di tingkat dua balai berkenaan.

Arjunaidi berkata, siasatan lanjut kes itu dijalankan Polis Daerah Kajang dan JIPS Bukit Aman.

"Kita masih menunggu laporan hasil siasatan lengkap segala kesalahan yang berlaku dalam kes itu," katanya.

Berita berkaitan:

  • Ketua Balai Polis 'berpesta' positif ganja
  • Pesta liar di balai polis, 8 termasuk Ketua Balai ditahan Bukit Aman
  • Berita Harian X