Khamis, 22 Julai 2021 | 2:40pm
Dzulkhairi (kanan) dalam serbuan sindiket tipu jual beli barang Amazon atas talian di sebuah apartmen di Kawasan Lebuh Medini Utara, semalam. - Foto PDRM
Dzulkhairi (kanan) dalam serbuan sindiket tipu jual beli barang Amazon atas talian di sebuah apartmen di Kawasan Lebuh Medini Utara, semalam. - Foto PDRM

Komisyen lima peratus hasil menipu jualan online

ISKANDAR PUTERI: Tiga lelaki tempatan yang menjalankan kegiatan sindiket tipu jual beli barang atas talian ditahan dalam serbuan sebuah apartmen di kawasan Lebuh Medini Utara, Medini di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan jam 5 petang itu, pihaknya turut merampas 25 telefon pelbagai jenama, enam komputer riba, fail dan kunci rumah yang dianggarkan bernilai RM26,600.

Beliau berkata, mereka akan menerima komisyen sebanyak lima peratus daripada jumlah wang hasil menipu mangsa yang menyasarkan mangsa dari England.

Katanya kegiatan sindiket itu dipercayai mula beroperasi lebih kurang seminggu yang lalu.

Polis turut merampas 25 telefon pelbagai jenama, enam komputer riba, fail dan kunci rumah yang dianggarkan bernilai RM26,600 selepas menahan tiga lelaki terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli online. - Foto PDRM

"Sindiket ini baru sahaja menyewa rumah kediaman tersebut pada pertengahan bulan ini. Mereka juga sudah merancang untuk bertukar lokasi ke kediaman yang lain untuk menjalankan kegiatan penipuan berpandukan arahan daripada seorang lelaki warga tempatan.

"Ketiga-tiga suspek menyatakan bahawa mereka tidak pernah berjumpa dengan lelaki berkenaan dan hanya berhubung melalui aplikasi WeChat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkatata, tiga suspek yang ditahan berusia 19 hingga 23 tahun, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Semua suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga 24 Julai. Kes siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X